Tuesday, December 30, 2008

LATIHAN SIMULASI PESAWAT TERHEMPAS DI LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL AZIZ SHAH



Pada 23 Disember 2008, pihak MASB Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah telah menjalankan Latihan Simulasi Pesawat Terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Latihan ini melibatkan pengaktifan pelan kecemasan Lapangan Terbang yang mana panggilan bantuan dibuat oleh menara Airport Fire and Rescue Service (AFRS) dan juga pusat Operasi Keselamatan (SOC). Latihan Simulasi Pesawat Terhempas ini melibatkan agensi kerajaan dan swasta. Antaranya ialah :

I. Jabatan Penerbangan Awam
II. Malaysia Air port Sdn Bhd LTSAAS
III. Airport Fire Rescue Service (AFRS) Aviation Security (AVSEC)
IV. Polis DiRaja Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
V. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
VI. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
VII. Tentera Udara DiRaja Malaysia
VIII. Fire Fly Sdn Bhd

Pada jam 1000 Bilik Gerakan JPAM Selangor telah menerima panggilan kecemasan dari Menara Airport Fire and Rescue Service (AFRS) tentang kebakaran pesawat. Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah menghantar 2 Pegawai Pemerhati iaitu Pegawai Latihan; LTM (PA) Ruslan bin Lok dan Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Klang; LTM (PA) Bonnie bin Madisun. Pasukan JPAM Selangor diketuai oleh PPATK (PA) Nor Hisham bin Abdullah dan Pegawai Pasukan; LT (PA) V. George bersama-sama 13 anggota termasuk 4 orang dari Pasukan PASPA Negeri Selangor untuk turut serta dalam latihan tersebut. Pasukan JPAM Selangor menuju ke lokasi bersama 1 ambulan, 1 bravo kia dan 1 hilux.

Jabatan Pertahanan Awam berperanan dalam memberi bantuan perawatan awal. Terdapat seramai 70 orang mangsa yang terdiri daripada anggota TUDM dalam simulasi tersebut. Masa yang diambil oleh pasukan JPAM Selangor apabila menerima panggilan kes hingga sampai ke tempat kejadian adalah lebih kurang 15 minit.

Disediakan oleh :
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor

Sunday, December 21, 2008

LATIHAN BERSAMA ZON TENGAH 2008 DI TELUK SEGADAS, PULAU PANGKOR

Pada 12-14 Disember 2008, Latihan Bersama bagi Zon Tengah telah berjalan dengan lancarnya. Latihan yang bertempat di Teluk Segadas, Pulau Pangkor, Perak Darul Ridzuan ini melibatkan 3 buah negeri iaitu Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Perak sendiri selaku tuan rumah pada tahun ini. Latihan yang telah diaturkan tuan rumah agak mencabar dan menguji kecekapan serta kemahiran para anggota Pertahanan Awam. Setiap negeri menghantar anggota mengikut kuota yang telah ditetapkan.

Bagi Negeri Selangor, seramai 11 orang pegawai dan 57 orang anggota telah terlibat dalam latihan ini. Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor, Tuan Pang Ah Lek turut hadir memantau latihan yang dijalani para anggota di tempat latihan.

Pada malam taklimat diadakan, kesemua anggota dipecahkan kepada 3 kumpulan yang besar iaitu Alpha, Bravo dan Charlie. Kemudian setiap kumpulan besar tersebut akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan keahlian lingkungan 10 orang. Rombakan tersebut adalah bertujuan memupuk semangat kerjasama di kalangan anggota tidak kira bangsa mahupun asal mereka. Penglibatan ketiga-tiga negeri mengeratkan lagi silaturrahim antara anggota serta semua yang terlibat dalam merencanakan program ini.

Kaedah latihan yang dijalankan meliputi kemahiran asas Pertahanan Awam. Ia terbahagi kepada 3 jenis latihan iaitu; Latihan Alih Ganti Usungan dan Pertolongan Cemas, Latihan Pantai dan Ascending and Descending. Setiap latihan ini adalah dipertandingkan. Bagi Latihan (1), peserta akan diuji kemahiran alih ganti peralatan menyelamat untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan di dalam hutan. Manakala Latihan (2) merupakan latihan di pantai. Untuk Latihan (3) peserta akan diuji dengan kemahiran A&D dan semangat kerjasama menuruni bukit batu. Acara ini dijalankan oleh setiap kumpulan mengikut giliran seperti yang telah di jadualkan. Secara keseluruhan, pemenang adalah dari kumpulan Charlie.

Namun apa yang membanggakan, selama 3 hari 2 malam latihan ini berjalan, kesemua anggota, pegawai dan urusetia yang terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya dan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program.

Semoga latihan sebegini dapat memantapkan para anggota Pertahanan Awam Malaysia selaras dengan visi dan misi jabatan supaya anggota dapat menjalani tugas masing-masing. Diharap, dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang di pelajari dalam latihan ini akan digunakan dengan sebaik mungkin.

Disediakan oleh :
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor

Friday, December 19, 2008

Selangor vs Alpha Bangi


18 Disember 2008- Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak dengan Pusat Latihan Alpha Bangi. Perlawanan ini diaturkan sebagai aktiviti hujung bulan tahun 2008.
Pasukan bola sepak Selangor terdiri daripada 15 orang. Ketua pasukan team bola sepak tersebut Lt.M (PA) Ruslan bin Lok. Perlawanan ini diadakan di Pusat Latihan Pos Malaysia,Bangi. Tepat jam 5.45 petang perlawanan ini telah dimulakan.
Sepanjang perlawanan tersebut,pemain-pemain Selangor bermain dengan penuh semangat. Persaingan antara pasukan Selangor dan Alpha sangat ketara hinggalah separuh masa yang pertama perlawanan tersebut. Kedua-dua pasukan seri 0-0.
Separuh masa yang kedua pula dimulakan sejurus selepas kedua-dua pasukan diberi rehat selama 10 minit. Pada masa yang sama,pemain bertukar dengan pemain simpanan. Persaingan sengit antara kedua-dua pasukan. Namun pada akhir perlawanan,kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusannya seri 0-0.

Disediakan oleh: Menaga Nagiah
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor.

Thursday, December 18, 2008

Tragedi Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa



6 Disember 2008- Kejadian tanah runtuh telah berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor, Malaysia. Empat orang terkorban dan 14 yang lain cedera di samping 14 buah rumah banglo ranap dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi.Tragedi itu berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan tragedi Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993.
Sultan Selangor turut berangkat meninjau tempat kejadian. Turut ke tempat kejadian ialah Perdana Menteri,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya,Datuk Seri Najib Tun Razak. Pihak tentera, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan tugas-tugas menyelamat dan memindahkan mangsa. Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan turut serta dalam operasi tersebut.

Seramai 60 hingga 80 orang anggota Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi tanah runtuh tersebut. Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam,TKP,Pengarah Negeri Selangor dan Wilayah,serta pegawai-pegawai tetap yang lain turut turun di tempat operasi tersebut. Disamping memindahkan mangsa,anggota JPA turut standby medik di tempat kejadian. Tragedi tanah runtuh itu mengorbankan empat nyawa, 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh berjaya menyelamatkan diri manakala14 orang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur. Anggota dan pegawai pasukan dan tetap Jabatan Pertahanan Awam bertugas selama 12 jam mengikut giliran dalam operasi tersebut.

Disediakan oleh: Menaga Nagiah

Tuesday, December 2, 2008

LAPORAN PERHIMPUNAN PERTAHANAN AWAM TAHUN 2008


Tarikh : 13-17 November 2008 ( Khamis-Isnin )
Tempat : Padang MPK 1,Kuantan
13November 2008 merupakan tarikh yang menemukan semua warga Jabatan Pertahanan Awam, di mana berlangsungnya Perhimpunan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan.
Seramai 100 anggota termasuk PPAN dan PPAD Selangor mewakili Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor untuk perhimpunan tersebut. Pada 13 November,jam 8.30 mlm, Lt.M (PA) Ruslan b. Lok sebagai ketua kontijen memberi taklimat mengenai program yang akan dijalankan sepanjang perhimpunan tersebut.
Pada 14 November,jam 2.00 petang, ujian kemahiran untuk perawatan awal dan CDERT telah dijalankan. Anggota dari Selangor telah menunjukkan kemahiran terbaik yang mungkin. Pada malam pula,pertandingan kebudayaan telah berlansung. Malam itu adalah malam pertandingan karoke. Lt (PA) Mohd Idris b. Abd Hamid telah mewakili Negeri Selangor untuk pertandingan karoke tersebut.
Selepas majlis perasmian Perhimpunan Pertahanan Awam dirasmikan oleh wakil Menteri Besar Pahang,ujian kemahiran untuk pasukan PASPA,kawad serta menyelamat di tempat tinggi telah dijalankan. Pasukan menyelamat di tempat tinggi pula seramai 10 orang anggota yang diketuai oleh pegawai pasukan Lt (PA) Md Nor b. Hashim. Pasukan PASPA Selangor diwakili oleh PPATB Mohd Husni b. Husin dan PPATB Mohd Rahimie b. Md Lazin. Peserta kawad pula seramai 34 orang yang terdiri daripada anggota unit Kuala Selangor dan Klang. Pertandingan kebudayaan kategori tarian turut diadakan pada malam tersebut. Kumpulan tarian Selangor seramai 10 orang membuat persembahan bertajuk Joget Selangor.
Pada 16 November pula,ujian kemahiran untuk menyelamat di pantai dan Eksploris telah dijalankan. Secara keseluruhannya,anggota Selangor telah menunjukkan komitmen yang sebaik mungkin sepanjang program dijalankan. Pada malam Ahad 16 November,satu jamuan makan malam telah diadakan di Dewan SUKPA,Kuantan.
Pada 17 November 2008, Majlis Penutupan Perhimpunan Pertahanan Awam telah dirasmikan oleh YB. Dato’Syed Hamid Albar,Menteri Dalam Negeri. Majlis berakhir dengan meriahnya. Walaupun kontijen Selangor tidak memenangi apa-apa hadiah dalam ujian kemahiran,anggota tidak berputus asa untuk terus mencuba untuk pertandingan yang akan datang. Pengalaman ini dijadikan sebagai satu pengajaran untuk menunjukkan hasil yang terbaik untuk masa yang akan datang.

Disediakan oleh: Menaga Nagiah

Monday, October 13, 2008

Majlis Mesra Aidilfitri Pertahanan Awam Negeri Selangor pada 18 Oktober 2008


Salam Mesra Aidilfitri
Alhamdulillah salam aidilfitri, ujian sebenar selepas mengharungi tarbiah selama sebulan di Ramadhan telahpun tiba, moga ujian di sebelas bulan yang mendatang mampu kita harungi dengan sebaik mungkin, jadilah merpati Masjid/rumah2 Allah sebagaimana kita memperuntukkan waktu ibadah kita di bulan Ramadhan, insyaAllah.

Dikesempatan ruang yang ada ini, pihak Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor dengan berbesar hati, menghulurkan tangan menjemput saudara saudari, Dato Datin, Tuan Puan ke Majlis Mesra Aidilfitri di Perkarangan Pertahanan Awam Negeri Selangor yang bakal diadakan pada 18 Oktober 2008, Majlis bermula pada 7.00pm dan dijangka berakhir pada 11.00pm.

InsyaAllah jom kita pakat ramai-ramai meraikan majlis mesra Aidilfitri pada tahun ini, moga-moga disana akan terbit silaturrahim yang baru, yang lebih baik dari sebelumnya dan seterusnya mampu menjadi suntikan semangat sesama kita untuk meneruskan perjuangan sebagai pejuang-pejuang agama di persinggahan yang sementara di dunia ini, kita tak mampu bersendirian, oleh itu sokongan dari rakan-rakan kita dalam jamaah insyaAllah dapat membantu kita semua, yang penting redha dan rahmat Allah kita utamakan, apa2pun benda yang kita buat, landasannya Islam, InsyaAllah.

oklah, kita jumpa disana nanti, moga pertemuan yang bakal berlaku akan kekal untuk kita bertemu lagi di hari perhitungan nanti dihadapan Allah SWT, amien.

al-fatihah untuk muslimin muslimat yang telah kembali kerahmatullah.

Sunday, October 12, 2008

Majlis Perkahwinan Pembantu Tadbir Kewangan W17, En. Wan Hazlan dan Puan Norlela


Hari ini dalam sejarah, pada tanggal 11 Oktober 2008, Pertahanan Awam Negeri Selangor mencipta sejarah baru apabila kedua-dua kakitangan JPAM Selangor iatu En. Wan Hazlan bin Wan Ali dan Pasangannya Puan Norlela bt Jaafar, kedua-duanya berkhidmat di Cawangan Kewangan dan Perolehan JPAM N. Selangor, moga mereka berdua berbahagia di dunia dan akhirat, amien. Seluruh warga JPAM Selangor mengucapkan Selamat pengantin Baru dan kami sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian berdua.