Tuesday, December 30, 2008

LATIHAN SIMULASI PESAWAT TERHEMPAS DI LAPANGAN TERBANG SULTAN ABDUL AZIZ SHAH



Pada 23 Disember 2008, pihak MASB Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah telah menjalankan Latihan Simulasi Pesawat Terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Latihan ini melibatkan pengaktifan pelan kecemasan Lapangan Terbang yang mana panggilan bantuan dibuat oleh menara Airport Fire and Rescue Service (AFRS) dan juga pusat Operasi Keselamatan (SOC). Latihan Simulasi Pesawat Terhempas ini melibatkan agensi kerajaan dan swasta. Antaranya ialah :

I. Jabatan Penerbangan Awam
II. Malaysia Air port Sdn Bhd LTSAAS
III. Airport Fire Rescue Service (AFRS) Aviation Security (AVSEC)
IV. Polis DiRaja Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
V. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
VI. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
VII. Tentera Udara DiRaja Malaysia
VIII. Fire Fly Sdn Bhd

Pada jam 1000 Bilik Gerakan JPAM Selangor telah menerima panggilan kecemasan dari Menara Airport Fire and Rescue Service (AFRS) tentang kebakaran pesawat. Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah menghantar 2 Pegawai Pemerhati iaitu Pegawai Latihan; LTM (PA) Ruslan bin Lok dan Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Klang; LTM (PA) Bonnie bin Madisun. Pasukan JPAM Selangor diketuai oleh PPATK (PA) Nor Hisham bin Abdullah dan Pegawai Pasukan; LT (PA) V. George bersama-sama 13 anggota termasuk 4 orang dari Pasukan PASPA Negeri Selangor untuk turut serta dalam latihan tersebut. Pasukan JPAM Selangor menuju ke lokasi bersama 1 ambulan, 1 bravo kia dan 1 hilux.

Jabatan Pertahanan Awam berperanan dalam memberi bantuan perawatan awal. Terdapat seramai 70 orang mangsa yang terdiri daripada anggota TUDM dalam simulasi tersebut. Masa yang diambil oleh pasukan JPAM Selangor apabila menerima panggilan kes hingga sampai ke tempat kejadian adalah lebih kurang 15 minit.

Disediakan oleh :
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor

Sunday, December 21, 2008

LATIHAN BERSAMA ZON TENGAH 2008 DI TELUK SEGADAS, PULAU PANGKOR

Pada 12-14 Disember 2008, Latihan Bersama bagi Zon Tengah telah berjalan dengan lancarnya. Latihan yang bertempat di Teluk Segadas, Pulau Pangkor, Perak Darul Ridzuan ini melibatkan 3 buah negeri iaitu Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Perak sendiri selaku tuan rumah pada tahun ini. Latihan yang telah diaturkan tuan rumah agak mencabar dan menguji kecekapan serta kemahiran para anggota Pertahanan Awam. Setiap negeri menghantar anggota mengikut kuota yang telah ditetapkan.

Bagi Negeri Selangor, seramai 11 orang pegawai dan 57 orang anggota telah terlibat dalam latihan ini. Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor, Tuan Pang Ah Lek turut hadir memantau latihan yang dijalani para anggota di tempat latihan.

Pada malam taklimat diadakan, kesemua anggota dipecahkan kepada 3 kumpulan yang besar iaitu Alpha, Bravo dan Charlie. Kemudian setiap kumpulan besar tersebut akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan keahlian lingkungan 10 orang. Rombakan tersebut adalah bertujuan memupuk semangat kerjasama di kalangan anggota tidak kira bangsa mahupun asal mereka. Penglibatan ketiga-tiga negeri mengeratkan lagi silaturrahim antara anggota serta semua yang terlibat dalam merencanakan program ini.

Kaedah latihan yang dijalankan meliputi kemahiran asas Pertahanan Awam. Ia terbahagi kepada 3 jenis latihan iaitu; Latihan Alih Ganti Usungan dan Pertolongan Cemas, Latihan Pantai dan Ascending and Descending. Setiap latihan ini adalah dipertandingkan. Bagi Latihan (1), peserta akan diuji kemahiran alih ganti peralatan menyelamat untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan di dalam hutan. Manakala Latihan (2) merupakan latihan di pantai. Untuk Latihan (3) peserta akan diuji dengan kemahiran A&D dan semangat kerjasama menuruni bukit batu. Acara ini dijalankan oleh setiap kumpulan mengikut giliran seperti yang telah di jadualkan. Secara keseluruhan, pemenang adalah dari kumpulan Charlie.

Namun apa yang membanggakan, selama 3 hari 2 malam latihan ini berjalan, kesemua anggota, pegawai dan urusetia yang terlibat memberikan kerjasama sepenuhnya dan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program.

Semoga latihan sebegini dapat memantapkan para anggota Pertahanan Awam Malaysia selaras dengan visi dan misi jabatan supaya anggota dapat menjalani tugas masing-masing. Diharap, dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang di pelajari dalam latihan ini akan digunakan dengan sebaik mungkin.

Disediakan oleh :
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor

Friday, December 19, 2008

Selangor vs Alpha Bangi


18 Disember 2008- Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak dengan Pusat Latihan Alpha Bangi. Perlawanan ini diaturkan sebagai aktiviti hujung bulan tahun 2008.
Pasukan bola sepak Selangor terdiri daripada 15 orang. Ketua pasukan team bola sepak tersebut Lt.M (PA) Ruslan bin Lok. Perlawanan ini diadakan di Pusat Latihan Pos Malaysia,Bangi. Tepat jam 5.45 petang perlawanan ini telah dimulakan.
Sepanjang perlawanan tersebut,pemain-pemain Selangor bermain dengan penuh semangat. Persaingan antara pasukan Selangor dan Alpha sangat ketara hinggalah separuh masa yang pertama perlawanan tersebut. Kedua-dua pasukan seri 0-0.
Separuh masa yang kedua pula dimulakan sejurus selepas kedua-dua pasukan diberi rehat selama 10 minit. Pada masa yang sama,pemain bertukar dengan pemain simpanan. Persaingan sengit antara kedua-dua pasukan. Namun pada akhir perlawanan,kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusannya seri 0-0.

Disediakan oleh: Menaga Nagiah
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor.