Wednesday, February 18, 2009

Majlis Penerimaan Pingat Am Pertahanan Awam & Kenaikan Pangkat Anggota Pasukan

Klang, 7 Februari 2009- Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah mengadakan Majlis Penerimaan Pingat Am Pertahanan Awam & Kenaikan Pangkat Anggota Pasukan Negeri Selangor. Majlis tersebut berlangsung pada jam 3 petang, dihadiri oleh pegawai tetap dan pegawai pasukan. Pada awal jam 3 petang, Pengarah tiba di perkarangan pejabat dan seterusnya menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan kehormat dari Kadet Pertahanan Awam Negeri Selangor (KAPA), SMK Pandamaran Jaya. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Lagu Pertahanan Awam. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh Lt.(PA) Wan Harun b. Wan Jaafar. Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor,Mej (PA) Mulliadi Al- Hamdi b. Ladin serta menyampaikan ucapan beliau. Dalam ucapan tersebut,beliau mengucapkan tahniah pada anggota pasukan yang menerima pingat dan kenaikan pangat serta mengharapkan anggota pasukan akan memberi komitmen yang tinggi sepanjang masa berkhidmat. Dalam majlis tersebut, 2 orang anggota pertahanan awam telah dianugerahkan Pingat Am Pertahanan (PAP) sebagai satu penghargaan di atas jasa-jasa yang telah disumbangkan. Di samping itu, Seramai 7 orang anggota lagi telah dinaikkan pangkat. Sebaik saja selesai upacara pemakaian pangkat, majlis menjemput Pengarah dan Pegawai Pasukan untuk menikmati juadah minum petang.

Disediakan oleh: Menaga Nagiah

Tuesday, February 17, 2009

Majlis Jasamu Dikenang dan Penyerahan Tugas Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor

Klang, 7 Februari 2009- Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah mengadakan Majlis Jasamu Dikenang dan Penyerahan Tugas Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor sempena persaraan anggota sukarela dan perpisahan pengarah. Seramai 200 orang kakitangan tetap dan anggota telah hadir ke majlis tersebut. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh PPATB Mohd Husni b. Husin.Dalam majlis tersebut, Mantan Pengarah,Tuan Pang Ah Lek telah menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan yang memberi komitmen yang tinggi sepanjang beliau menjadi pengarah di Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor.Seterusnya beliau, menyerahkan fail serah tugas kepada Mej (PA) Mulliadi Al-Hamdi b. Ladin sebagai simbolik peralihan kuasa. Majlis penyerahan tugas itu telah berlangsung di lobi Pejabat Pertahanan Awam Negeri Selangor dan disaksikan oleh Pegawai Kanan Pasukan Mej (PA) Mohd Fuad b. Shariff serta pegawai tetap dan para anggota. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah baru Mej (PA) Mulliadi Al- Hamdi b. Ladin sejurus itu, menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pang Ah Lek sebagai tanda kenangan. Selepas itu, Pengarah serta pegawai tetap dan para anggota menikmati juadah yang telah disediakan. Majlis kemudian diteruskan dengan memberi cenderahati kepada anggota sukarela yang telah bersara pada 31 Disember 2008 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan jasa yang telah diberikan kepada jabatan. Tuan Pang Ah Lek diiringi dengan barisan anggota dan kakitangan tetap sampai ke tangga yang menghala ke kuarters kediamannya pada akhir majlis. Majlis ini telah berakhir pada jam 11.00 malam. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada Tn. Pang Ah Lek..

Disediakan oleh: Menaga Nagiah

Wednesday, January 28, 2009

KEMPEN KESEDARAN JALANRAYA DAN PENCEGAHAN JENAYAH – HEP BERSAMAMU Universiti Industri Selangor (UNISEL)

Pada 14 Januari 2009 Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah dijemput untuk turut serta dalam Program Kempen Keselamatan Jalanraya Dan Pencegahan Jenayah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Unit Keselamatan UNISEL. Program ini berlangsung di Rotunda Fakulti Kejuruteraan, Kampus Bestari Jaya.

Peranan Jabatan Pertahanan Awam Selangor di sepanjang program adalah seperti membuat simulasi kecemasan, memberi taklimat mengenai Pertahanan Awam, demostrasi menyelamat dan mengadakan pameran. Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 6.00 petang berjalan lancar seperti yang di jadualkan dalam buku aturcara.

Aktiviti ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar Unisel tentang perlunya sikap berhati-hati di jalanraya dan juga pencegahan untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat. Terdapat pelbagai agensi yang terlibat dalam program tersebut termasuklah Jabatan Pertahanan Awam.

Disediakan oleh:
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor

Monday, January 5, 2009

LATIHAN MENYELAMAT PANTAI



Pada 19 hingga 21 Disember 2008 Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor telah menjalankan Latihan Penyelamat Pantai. Latihan ini di jalankan di Pusat Akuatik Shah Alam dan di Pantai Kelanang, Banting secara teori dan amali selama 3 hari. Seramai 15 orang peserta lelaki dan seorang peserta wanita terlibat dalam latihan ini. Peserta terlebih dahulu membuat pendaftaran di Pejabat Pertahanan Awam Negeri Selangor sebelum bertolak ke tempat latihan. Jurulatih yang terlibat adalah daripada Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor. Latihan yang diadakan adalah berpandukan jadual yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Pertahanan Negeri Selangor Bahagian Angkatan dan Latihan.

Latihan Penyelamat Pantai merupakan persediaan awal dalam menangani kemalangan di pinggir pantai. Melalui latihan Penyelamat Pantai, teknik-teknik menyelamat di pantai akan diajar kepada para anggota penyelamat. Melalui latihan ini anggota akan didedahkan dengan pengenalan Peralatan Menyelamat dan kemahiran mengenai teknik-teknik yang digunakan ketika menyelamatkan mangsa.

Disamping itu, latihan ini memberi pendedahan asas serta kemahiran berkaitan dengan organisasi, juga membina ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan melalui senario-senario yang dijalankan. Dengan ini dapatlah mewujudkan kerjasama dan hubungan silaturahim sesama anggota tanpa mengira kaum.

Latihan Penyelamat ini juga memberi pengalaman kepada anggota bagi menghadapi kes-kes kecemasan yang berlaku apabila bertugas di Menara Penyelamat Pantai. Selain itu, tujuan latihan ini dijalankan adalah untuk menguji dan mengukur kemahiran sedia ada anggota sebelum dibenarkan bertugas sebagai seorang anggota Penyelamat Pantai. Langkah ini menepati Visi dan Misi jabatan dalam menangani bencana.

Secara keseluruhan, latihan ini telah berjalan dengan lancar. Anggota yang terlibat dalam latihan ini dapat menimba ilmu walaupun dalam tempoh yang singkat.

Disediakan oleh:
Ilmahani binti Mohd Yusof
Pembantu Pertahanan Awam
Negeri Selangor